Tuesday, June 1, 2010

Jadual: Praktis 4

Dengan menggunakan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan satu jadual untuk menunjukkan kemudahan pinjaman yang diberikan oleh syarikat kewangan kepada sektor-sektor pertanian dan perlombongan bagi tahun-tahun yang diliputi.

Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah pembangunan sektor perindustrian, namun sektor pertanian dan perlombongan masih mendapat perhatian pihak kerajaan. Beberapa syarikat kewangan telah memberi kemudahan pinjaman kewangan bagi memastikan kedua-dua sektor ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Sejumlah RM1598.9 juta pinjaman telah diperoleh bagi memajukan sektor pertanian pada tahun 2004. Daripada jumlah pinjaman yang diperuntukkan, RM79.8 juta telah diperuntukkan bagi penanaman getah. Sektor penanaman kelapa sawit pula memperoleh pinjaman sebanyak RM302.1 juta atau 18.89%, manakala pengurusan hutan dan pembalakan menerima peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak 56%. Baki pinjaman sebanyak RM321.7 juta pula disalurkan kepada kegiatan pertanian lain.

Di samping itu, sektor perlombongan mendapat pinjaman berjumlah RM209.5 juta dan daripada jumlah ini, 52.65% diperuntukkan bagi pembangunan kuari. Perlombongan bijih timah yang masih merupakan eksport penting negara memperoleh peruntukan sebanyak 28.74% atau RM60.2 juta, manakala perlombongan galian lain mendapat pinjaman sebanyak RM39 juta.

Pada tahun 2005, jumlah pinjaman oleh syarikat kewangan telah bertambah kepada RM1622.8 juta bagi sektor pertanian, tetapi berkurang kepada RM178.1 juta bagi sektor perlombongan. Pada tahun tersebut, pengurusan hutan dan pembalakan masih menerima peruntukan yang tertinggi dalam sektor pertanian, iaitu sebanyak RM912.2 juta. Ini diikuti oleh sektor lain sebanyak RM339.7 juta. Pinjaman untuk kegiatan penanaman getah dan kelapa sawit masing¬masing dikurangkan kepada RM72.3 juta dan RM298.6 juta.

Sementara itu, sektor perlombongan bijih timah telah mengalami pengurangan pinjaman sebanyak RM11.8 juta menjadi RM48.4 juta pada tahun 2005. Pinjaman bagi pembangunan kuari turut berkurang, iaitu kepada RM99.5 juta pada tahun yang sama. Pinjaman untuk perlombongan galian lain berkurang sebanyak RM8.8 juta berbanding dengan tahun sebelumnya.

Seterusnya, jumlah pinjaman yang diberikan kepada sektor pertanian pada tahun 2006 ialah RM1691.3 juta. Daripada jumlah tersebut, peruntukan bagi kegiatan penanaman getah ialah RM71.6 juta atau 4.23%. Pengurusan hutan dan pembalakan masih menerima peruntukan terbanyak, iaitu RM947.4 juta. Sementara itu, kegiatan penanaman kelapa sawit dan pertanian lain masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM301.5 juta dan RM370.8 juta.

Dalam sektor perlombongan pula, jumlah pinjaman pada tahun 2006 berkurang sebanyak RM9.5 juta daripada tahun sebelumnya. Perlombongan bijih timah memperoleh pinjaman sebanyak RM50 juta, manakala pinjaman bagi pembangunan kuari berkurang kepada RM89.2 juta. Pinjaman selebihnya diperuntukkan kepada perlombongan galian lain.



(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Buku Tahunan Perangkaan Malaysia 2007, Jabatan Perangkaan Malaysia)



_________________________________________________

JAWAPAN: Klik di sini

No comments:

Post a Comment

Kuliah Graf Bar Kompaun

Sukatan Pelajaran Pengajian Am


Sukatan Pelajaran Pengajian Am STPM -