Monday, June 28, 2010

Graf Bar Kompaun: Praktis 1

Graf Bar Kompaun: Praktis 1

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf bar yang sesuai untuk menunjukkan kumpulan
ahli ikhtisas berdaftar di Malaysia mengikut kaum bagi tahun-tahun yang diliputi.


Usaha untuk menambahkan bilangan ahli ikhtisas berdaftar mengikut kaum di Malaysia, yang terdiri daripada peguam, akauntan, guru, doktor perubatan, arkitek dan sebagainya, adalah sejajar dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional. Usaha ini juga merupakan langkah kerajaan untuk mencapai matlamat penyusunan semula masyarakat di Malaysia.


Setelah DEB dan Dasar Pembangunan Nasional diperkenalkan, terdapat sejumlah 24 550 orang ahli ikhtisas Melayu dan Bumiputera berdaftar berbanding dengan sejumlah 35 265 orang ahli ikhtisas Cina, 7964 orang ahli ikhtisas India dan 802 orang ahli ikhtisas kaum lain pada tahun 1995.


Strategi mengubah dan memperbaiki tahap pendidikan penuntut Melayu di bawah DEB dan Dasar Pembangunan Nasional telah membolehkan semakin ramai orang Melayu dan Bumiputera digelar golongan profesional berdaftar. Peratusannya pada tahun 2000 lelah meningkat kepada 38.49% daripada keseluruhan 182 085 orang ahli ikhtisas berdaftar.


Pertambahan ahli ikhtisas dalam kalangan orang Gna ialah 4855 orang berbanding dengan 35 265 orang ahli ikhtisas Cina berdaftar pada tahun 1995. Sementara itu, dalam kalangan orang India, peratusannya tidak berubah pada tahun 1995 dan 2000, iaitu pada kadar 11.6% sungguhpun bilangan ahli ikhtisas India meningkat kepada 9540 orang pada tahun 2000. Dalam kalangan kaum lain pula, bilangannya telah bertambah menjadi 830 orang ahli ikhtisas berdaftar.


Pertambahan bilangan keseluruhan ahli profesional di Malaysia pada tahun 2005 ialah 10.66% dan melahirkan sejumlah 90 834 orang ahli ikhtisas. Pada tahun 2005, terdapat peningkatan seramai 2155 orang ahli profesional Melayu dan Bumiputera berbanding dengan tahun 2000. Ahli ikhtisas Cina pula bertambah menjadi 45 624 orang dan ahli ikhtisas India ialah 10340 orang, manakala selebihnya terdiri daripada ahli ikhtisas kaum lain.


Jumlah ahli profesional berdaftar pada tahun 2010 dianggarkan seramai 97038 orang. Daripada jumlah ini, 36728 orang atau 37.85% terdiri daripada ahli profesional Melayu dan Bumiputera, manakala 47 135 orang merupakan ahli profesional Cina. Sementara itu, 11 945 orang atau 12.31 % terdiri daripada ahli ikhtisas India, dan ahli ikhtisas daripada kaum lain ialah 1230 orang.

(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga, 2001-2010)

Sunday, June 20, 2010

Praktis Jadual 3

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan satu jadual untuk menunjukkan perbezaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi sektor ekonomi antara Rancangan Malaysia Kelapan dengan Rancangan Malaysia Kesembilan.


Peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi sektor ekonomi semakin meningkat, seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat. Sektor pengangkutan menjadi tumpuan utama apabila menerima peruntukan hampir 46.77% di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), iaitu antara tahun 2001 hingga tahun 2005. Nilai peruntukan sebenar bagi sektor ini telah meningkat sebanyak RM1405.2 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), iaitu antara tahun 2006 hingga tahun 2010. Peruntukan berkenaan antara lainnya, bertujuan membina beberapa lebuh raya, memperbaiki jalan Persekutuan dan membesarkan pelabuhan serta beberapa buah lapangan terbang.

Daripada jumlah belanjawan sebanyak RM33 706.6 juta yang diperuntukkan di bawah RMK-8, RM5459.6 juta adalah untuk sektor pertanian, iaitu meliputi aktiviti penanaman padi, subsidi baja dan harga padi, penanaman sayur-sayuran serta kegiatan penternakan haiwan dan ikan air tawar. Peruntukan ini meningkat sebanyak 23.51% kepada RM6743.1 juta sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-9.

Sementara itu, jumlah peruntukan bagi sektor perdagangan dan perindustrian ialah 17.40% daripada keseluruhan peruntukan di bawah RMK-8, dan angka berkenaan bertambah sebanyak 4.45% menjadi RM6125.7 juta di bawah RMK-9.


Peruntukan yang keempat tertinggi di bawah kedua-dua rancangan pembangunan tersebut adalah untuk kegiatan sumber air, iaitu 11.96% daripada jumlah peruntukan di bawah RMK-8 dan 12.34% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM37 660.2 juta di bawah RMK-9.

Peruntukan bagi kegiatan pembangunan sumber mineral di bawah RMK-9 mengalami peningkatan sebanyak 22.15% daripada RM44.7 juta yang diperuntukkan di bawah RMK-8.

Dalam sektor komunikasi pula, RM62.4 juta diperuntukkan di bawah RMK-9. Peruntukan ini meningkat sedikit sebanyak 7.58% daripada nilai peruntukan di bawah RMK-8 yang berjumlah RM58 juta.

Kegiatan yang semakin mendapat perhatian dan menerima peruntukan yang lebih banyak ialah kegiatan kajian kemungkinan, iaitu meningkat hampir 41.84% berbanding dengan nilai peruntukan di bawah RMK-8 sebanyak RM223 juta.

Sementara itu, kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperuntukkan sejumlah RM2541.5 juta sepanjang tempoh pelaksanaan RMK¬9. Hal ini memperlihatkan pertambahan sebanyak RM280.5juta daripada jumlah peruntukan bagi kegiatan penyelidikan dan pembangunan di bawah RMK-8.




(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Rancangan Malaysia Kesembilan, 2006-2010)


____________________________________________

JAWAPAN: Klik di sini

Tuesday, June 1, 2010

Jadual: Praktis 4

Dengan menggunakan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan satu jadual untuk menunjukkan kemudahan pinjaman yang diberikan oleh syarikat kewangan kepada sektor-sektor pertanian dan perlombongan bagi tahun-tahun yang diliputi.

Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah pembangunan sektor perindustrian, namun sektor pertanian dan perlombongan masih mendapat perhatian pihak kerajaan. Beberapa syarikat kewangan telah memberi kemudahan pinjaman kewangan bagi memastikan kedua-dua sektor ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Sejumlah RM1598.9 juta pinjaman telah diperoleh bagi memajukan sektor pertanian pada tahun 2004. Daripada jumlah pinjaman yang diperuntukkan, RM79.8 juta telah diperuntukkan bagi penanaman getah. Sektor penanaman kelapa sawit pula memperoleh pinjaman sebanyak RM302.1 juta atau 18.89%, manakala pengurusan hutan dan pembalakan menerima peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak 56%. Baki pinjaman sebanyak RM321.7 juta pula disalurkan kepada kegiatan pertanian lain.

Di samping itu, sektor perlombongan mendapat pinjaman berjumlah RM209.5 juta dan daripada jumlah ini, 52.65% diperuntukkan bagi pembangunan kuari. Perlombongan bijih timah yang masih merupakan eksport penting negara memperoleh peruntukan sebanyak 28.74% atau RM60.2 juta, manakala perlombongan galian lain mendapat pinjaman sebanyak RM39 juta.

Pada tahun 2005, jumlah pinjaman oleh syarikat kewangan telah bertambah kepada RM1622.8 juta bagi sektor pertanian, tetapi berkurang kepada RM178.1 juta bagi sektor perlombongan. Pada tahun tersebut, pengurusan hutan dan pembalakan masih menerima peruntukan yang tertinggi dalam sektor pertanian, iaitu sebanyak RM912.2 juta. Ini diikuti oleh sektor lain sebanyak RM339.7 juta. Pinjaman untuk kegiatan penanaman getah dan kelapa sawit masing¬masing dikurangkan kepada RM72.3 juta dan RM298.6 juta.

Sementara itu, sektor perlombongan bijih timah telah mengalami pengurangan pinjaman sebanyak RM11.8 juta menjadi RM48.4 juta pada tahun 2005. Pinjaman bagi pembangunan kuari turut berkurang, iaitu kepada RM99.5 juta pada tahun yang sama. Pinjaman untuk perlombongan galian lain berkurang sebanyak RM8.8 juta berbanding dengan tahun sebelumnya.

Seterusnya, jumlah pinjaman yang diberikan kepada sektor pertanian pada tahun 2006 ialah RM1691.3 juta. Daripada jumlah tersebut, peruntukan bagi kegiatan penanaman getah ialah RM71.6 juta atau 4.23%. Pengurusan hutan dan pembalakan masih menerima peruntukan terbanyak, iaitu RM947.4 juta. Sementara itu, kegiatan penanaman kelapa sawit dan pertanian lain masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM301.5 juta dan RM370.8 juta.

Dalam sektor perlombongan pula, jumlah pinjaman pada tahun 2006 berkurang sebanyak RM9.5 juta daripada tahun sebelumnya. Perlombongan bijih timah memperoleh pinjaman sebanyak RM50 juta, manakala pinjaman bagi pembangunan kuari berkurang kepada RM89.2 juta. Pinjaman selebihnya diperuntukkan kepada perlombongan galian lain.



(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Buku Tahunan Perangkaan Malaysia 2007, Jabatan Perangkaan Malaysia)



_________________________________________________

JAWAPAN: Klik di sini

Jadual: Praktis 2

Berdasarkan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan satu jadual untuk menunjukkan bilangan dan peratusan projek perindustrian yang diluluskan oleh kerajaan, bilangan peluang pekerjaan yang disediakan, dan jumlah pelaburan modal yang dicadangkan mengikut jenis hak milik pada tahun 2004.


Sejumlah 949 projek perindustrian telah diluluskan pada tahun 2004. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 4.7% berbanding dengan 906 projek yang diluluskan pada tahun 2003. Daripada jumlah tersebut, 617 atau 65% merupakan projek baru, manakala 332 atau 35% adalah untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran atau mempelbagaikan pengeluaran.

Seperti tahun 2003, kebanyakan projek yang telah diluluskan pada tahun 2004 dimiliki oleh warganegara Malaysia. Daripada 949 projek yang diluluskan pada tahun tersebut, 452 atau 47.63% dimiliki sepenuhnya oleh warganegara Malaysia dan 376 atau 39.62% merupakan projek usaha sama dengan majoriti ekuiti . dimiliki oleh warganegara Malaysia. Bilangan projek milik penuh warganegara asing ialah 45 atau 4.74%;, manakala 64 atau 6.74% merupakan projek usaha sama dengan majoriti ekuiti dimiliki oleh warganegara asing. Pada tahun yang sama, terdapat 12 projek atau 1.27% dengan ekuiti yang dipegang sama banyak oleh warganegara Malaysia dan warganegara asing.

Projek usaha sama yang melibatkan warganegara Malaysia dan warganegara asing mempunyai cadangan pelaburan modal yang tertinggi dan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak untuk warganegara Malaysia. Nilai cadangan pelaburan modal bagi semua projek tersebut ialah RM4614.2 juta yang meliputi 73.88% daripada jumlah cadangan pelaburan modal bagi semua projek yang diluluskan. Daripada jumlah tersebut, RM4306.4 juta ialah pelaburan modal untuk 376 projek yang majoriti ekuitinya dimiliki oleh warganegara Malaysia. Projek tersebut menyediakan 42125 peluang pekerjaan.

Cadangan pelaburan modal sebanyak RM302.2 juta adalah untuk 64 projek yang majoriti ekuitinya dimiliki oleh warganegara asing dan menyediakan 9802 peluang pekerjaan, manakala RM5.6 juta adalah untuk 12 projek yang ekuitinya dimiliki sama rata oleh warganegara Malaysia dan warganegara asing serta menyediakan 712 peluang pekerjaan. Projek milik penuh warganegara Malaysia mempunyai cadangan pelaburan modal sebanyak RM1260.5 juta dan menyediakan 35 370 peluang pekerjaan. Sementara itu, projek milik penuh warganegara asing mempunyai cadangan pelaburan modal sebanyak RM370.8 juta dan menyediakan 8365 peluang pekerjaan.



(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Laporan Tahunan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia 2004)


_______________________________________________

JAWAPAN: Klik di sini

Kuliah Graf Bar Kompaun

Sukatan Pelajaran Pengajian Am


Sukatan Pelajaran Pengajian Am STPM -