Monday, May 31, 2010

Jadual: Praktis 6

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan satu jadual untuk menunjukkan perbezaan peruntukan perbelanjaan sektor ekonomi Kerajaan Persekutuan antara Rancangan Malaysia Ketujuh dengan Rancangan Malaysia Kelapan.

" ... Hampir 42.68% peruntukan bagi sektor ekonomi untuk tempoh tahun 1996 hingga tahun 2000 ditumpukan kepada aktiviti pengangkutan dan nilai peruntukan sebenar bagi bidang ini telah meningkat sebanyak RM3013 juta dalam peruntukan yang dibuat bagi tempoh tahun 2001 hingga tahun 2005."

Peruntukan berkenaan yang dimaksudkan antara lainnya adalah bagi tujuan pembinaan beberapa lebuh raya dan juga untuk memperbaik jalan persekutuan dan pembesaran pelabuhan serta beberapa buah lapangan terbang.

Daripada sejumlah RM29 875 juta belanjawan yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, sebanyak RM6685 juta adalah bagi tujuan pertanian, iaitu meliputi aktiviti penanaman padi, subsidi baja dan harga padi, penanaman sayur-sayuran serta kegiatan penternakan haiwan dan ikan air tawar. Peruntukan ini bagaimanapun berkurang sebanyak 18.33% kepada RM5459.6 juta bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kelapan itu.

Sementara itu, sektor perdagangan dan perindustrian disediakan dengan kira-kira 16.85% daripada keseluruhan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, dan angka berkenaan bertambah sebanyak 16.5% menjadi RM5864.5 juta dalam tempoh rancangan pembangunan berikutnya.

Peruntukan yang keempat penting dalam kedua-dua tempoh rancangan pembangunan itu adalah bagi tujuan sumber air, iaitu masing-masing 12.19% daripada jumlah peruntukan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ketujuh dan 11.96% daripada jumlah peruntukan perbelanjaan sebanyak RM33 706 juta bagi Rancangan Malaysia Kelapan. Walau bagaimanapun, peruntukan bagi pembangunan sumber mineral dalam Rancangan Malaysia Kelapan nampaknya mengalami kemerosotan sebanyak 18.73% daripada RM55 juta yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh. Demikian juga, bidang komunikasi diperuntukkan sebanyak RM 58 juta b agi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan.Peruntukan ini berkurang sebanyak 31.03% daripada yang diperuntukkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh yang berjumlah RM84.1 juta.

Sektor yang semakin mendapat perhatian dan disediakan peruntukan yang lebih banyak ialah kajian kemungkinan, iaitu meningkat hampir sebanyak 71.54% daripada peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh yang bernilai RM130 juta. Sektor penyelidikan dan pembangunan (R & D) diperuntukkan sejumlah RM2261 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Ini memperlihatkan pertambahan sebanyak RM766.4 juta daripada peruntukan bagi sektor penyelidikan dan pembangunan dalam rancangan sebelumnya.



(Disesuaikan daripada Rancangan Malaysia Kelapan, 2000 - 2005)

No comments:

Post a Comment

Kuliah Graf Bar Kompaun

Sukatan Pelajaran Pengajian Am


Sukatan Pelajaran Pengajian Am STPM -